Rekod pemain hadrah teramai milik Sarawak [METROTV]

image-35

SARAWAK berjaya melakar catatan rekod baharu dalam Malaysia Book of Records (MBOR) selepas persembahan 1,001 pemain hadrah selama 30 minit di Padang Merdeka, Kuching hari ini, dinobatkan jumlah pemain teramai menjayakan pertunjukan hadrah terbesar di Malaysia sehingga kini.

Persembahan yang membabitkan pemain hadrah dari Kuching, Samarahan dan Lundu itu berjaya memecahkan rekod yang dipegang Pahang, menghimpunkan 350 pemain sebelum ini.

Sijil pengesahan rekod terbaharu itu diserahkan oleh wakil MBOR kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Abang Johari dalam ucapannya berkata, selain hadrah, warisan budaya lain yang perlu dipelihara dan dilestarikan ialah kesenian bela diri Melayu seperti silat, tarian dan muzik.

“Kerjasama dan sokongan dari NGO (badan bukan kerajaan) dan semua lapisan masyarakat dalam memelihara dan memulihara seni warisan budaya untuk tatapan generasi akan datang amat kita alu-alukan,” katanya dalam ucapan perutusan pada majlis itu.

Abang Johari bersama timbalannya, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan turut serta bermain hadrah dalam acara bersejarah yang dianjurkan oleh Persatuan Kesenian dan Warisan Melayu Kuching (KEWARISMA) dengan kerjasama Old Kuching Smart Heritage (OKSHE) itu.

Pada majlis itu juga 1,000 pesilat dari 16 persatuan dan perguruan silat turut berhimpun, menjadikan ia sebagai perhimpunan terbesar pesilat dalam tempoh 10 tahun, selepas perhimpunan kali terakhir pada 2009 yang membabitkan 500 pesilat.

0 0 vote
Article Rating
+ posts

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x
%d bloggers like this: