Visi di sebalik penubuhan D-Virtual Park

image-22

‘D-Virtual Park’ Kota Samarahan merupakan taman tema maya yang pertama seumpamanya di rantau.

Ia bakal memberikan pengalaman yang menarik kepada masyarakat Borneo mendalami lebih dekat kecanggihan teknologi digital dalam era Revolusi Perindustrian 4.0.

Menelan kos bernilai RM13 juta D-Virtual Park telah membawa nama Sarawak ke peta dunia.

Menerusi satu temu bual eksklusif wartawan Suara Sarawak ALWIN LAWRENCE bersama Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Serba Dinamik Holdings Bhd, DATUK DR IR MOHD ABDUL KARIM ABDULLAH, baru-baru ini yang berkongsikan matlamat, hala tuju dan pengalamannya membangunkan D-Virtual Park ini.

SUARA SARAWAK: Disebabkan tempoh PKPP kini, bagaimana dan bila D-Virtual Park akan dapat dibuka secara rasmi kepada orang ramai?

DATUK DR IR MOHD ABDUL KARIM: D-Virtual Park telah pun dibuka secara rasmi kepada orang ramai ketika ini.Tetapi oleh kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita akan terapkan garis panduan prosedur operasi standard (SOP) yang sesuai.

Menurut SOP ini, hanya 30 orang yang akan dibenarkan berada di kemudahan ini dalam satu masa. Kini kita sedang memulakan rangka promosi dan rancangan supaya lebih ramai pengunjung dapat hadir dan merasai pengalaman yang ditawarkan oleh D-Virtual Park ini.

Bagaimana D-Virtual Park akan menjadi sebahagian daripada tarikan pelancongan di Sarawak?

Saya berpendapat bahawa zaman berubah, teknologi berubah, dan minat orang daripada semua lapisan masyarakat juga akan berubah.

Biasanya orang akan selalu berusaha untuk menggunakan teknologi canggih terkini dari segi kejuruteraan, pelancongan, hiburan, dan sebagainya.

D-Virtual Park memaparkan elemen teknologi sebagai hiburan yang akan menarik pelancong untuk mengalami sendiri pelbagai pengalaman.

Dengan ini, saya berpendapat bahawa ia akan menjadi tempat yang mesti dikunjungi olehpelancong.

D-Virtual Park akan menjadi lokasi ikonik yang tidak boleh dilupakan oleh pelancong yang hadir. D-Virtual Park merupakan taman tema maya pertama di Borneo.

Bagaimana Datuk melihat D-Virtual Park Kota Samarahan ini dapat menjadi satu jenama global di peringkat antarabangsa?

Kita mempunyai harapan dan cita-cita yang amat tinggi untuk D-Virtual Park ini. Sehubungan itu, nama ‘D-Virtual Park’ telah dipatenkan dan diluluskan di bawah MyIPO.

Seterusnya, projek perintis di Kota Samarahan ini akan dilaksanakan di negeri-negeri lain di Malaysia. Antara yang menunjukkan respons positif ialah Selangor, Kuala Lumpur, dan Johor.

Kini kita juga mempromosikan konsep D-Virtual Park ini di luar negara dan Maldives serta Tajikistan sangat berminat dengan usaha ini .

Selain itu, kami juga menjalankan kajian kebolehlaksanaannya untuk wujudkan D-Virtual Park di sebuah resort di pinggir kota London. Kita tekankan bahawa D-Virtual Park merupakan konsep yang lebih kecil berbanding konsep yang lebih besar yang akan kita laksanakan dengan gabungan inovasi digital dan taman tema digital. Pada tahap sekarang ini, kita telah berjaya menembusi pasaran di Abu Dhabi dan telah mendapat kepercayaan dari negara-negara lain.

Berapa banyak yang telah dilaburkan untuk kemudahan D-Virtual Park ini?

Setakat ini, kira-kira RM13 juta telah dibelanjakan untuk kemudahan ini. Dari segi pulangan pelaburan, penembusan maklumat, pengetahuan, dan teknologi, ia bergerak dengan sangat pantas.

Saya rasa ini adalah kesan yang disebabkan oleh pembangunan D-Virtual Park di sini.

Mengapa Datuk beralih melakukan peralihan dari industri minyak dan gas ke industri yang lebih inovatif seperti teknologi digital ini?

Kita percaya bahawa di Serba Dinamik, kita telah diberi kepercayaan dan harapan tinggi para pelabur dan pemegang saham agar mereka mendapat pulangan pelaburan yang besar di akhir operasi tahunan.

D-Virtual Park merupakan kemudahan yang akan menghasilkan pendapatan dan penjualan yang akan membantu memberikan keuntungan kepada para pelabur, pemegang saham, dan pihak berkepentingan Serba Dinamik.

Sekiranya kita hanya bergantung pada industri minyak dan gas, kita menyedari bahawa ia tidak akan dapat memenuhi aspirasi pulangan pelaburan yang tinggi.

Oleh itu, dengan sumber pendapatan yang pelbagai, ia akan membantu Serba Dinamik untuk memperoleh hasil dan keuntungan yang lebih tinggi dan dividen yang lebih besar kepada pemegang saham dan pihak berkepentingan kita.

Melalui pengenalan digitalisasi kepada masyarakat Sarawak, adakah pihak Datuk mempunyai rancangan yang lebih besar untuk mengembangkan potensi anak muda di sini sebagai pemain utama dalam industri?

Intipati D-Virtual Park akan dilaksanakan di semua tempat yang relevan, dan terdapat bahagian yang dikenali sebagai makmal inovasi. Makmal inovasi merupakan platform untuk membantu syarikat-syarikat baharu yang mempunyai cita-cita, idea dan mempunyai potensi untuk menafsirkan idea mereka ke dalam sistem atau produk yang dapat dipasarkan secara global.

Ini adalah platform yang kita rasa akan dapat kembangkan potensi setiap generasi dengan idea-idea segar untuk diekspresikan. Kita berpendapat perkembangan ini akan menghasilkan usahawan global yang lebih berjaya dan ia terbukti melalui penubuhan Silicon Valley di California.

Mereka telah melahirkan ramai usahawan global yang berjaya. Sehingga tahun ini, di Sarawak sendiri, berapa banyak syarikat yang telah mengambil bahagian dalam inisiatif ini? Sarawak, kita telah berkerjasama dengan Borneo Startup, dan setakat ini terdapat 33 syarikat menjalinkan kerjasama menerusinya.

Dalam pada itu difahamkan juga terdapat lebih banyak syarikat yang telah disenarai pendek, dan jumlahnya mungkin akan bertambah besar dari semasa ke semasa, bakal bekerjsama dengan kita untuk pembangunan teknologi ini.

Menerusi penglibatan syarikat ini nanti, apakan sokongan dan bantuan yang diterima oleh syarikat-syarikat ini nanti?

Bantuan tersebut merangkumi suntikan modal. Kita, di Serba Dinamik, telah memberikan komitmen sebanyak RM5 juta, Teraju telah menyumbang sebanyak RM2.5 juta, Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) juga telah memberikan komitmen sebanyak RM1 juta setakat ini, dan institusi lain telah memberikan geran dan menyatakan hasrat mereka untuk turut serta dalam program seperti ini juga pada masa akan datang.

Seiring dengan tempoh masanya, lebih banyak institusi termasuk dari sektor swasta akan turut serta kerana sebilangan besar mereka berminat untuk menyumbang dan menjadikannya sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.

Kami mempunyai harapan yang tinggi agar idea ini dapat dikembangkan di seluruh Malaysia dan dapat diterima dengan baik di negara-negara lain.

Ini secara tidak langsung akan meletakkan rakyat Malaysia sebagai pelopor teknologi digital di peta dunia.

Setelah melihat terlaksananya semua usaha ini, apakah impian Datuk sebenarnya?

Saya berasakan bahawa ini adalah salah satu impian saya. Saya berpegang kepada ungkapan ‘Jangan menjadi jaguh kampung, tetapi jadilah jaguh global, dunia’.

Di antara kesemua 14 negeri di Malaysia, mengapa Datuk memilih Sarawak?

Pertama, saya berasal dari Sarawak.

Kedua, saya menerima cabaran pandangan sinis masyarakat terhadap kemajuan dan kemampuan rakyat Sarawak.

Ketiga, saya berasakan bahawa Sarawak dipimpin oleh Kerajaan Negeri yang memahami cita-cita serta matlamat dan konsep pentingnya teknologi digital.

Akhirnya teknologi digital telah berada di tangga teratas pada masa ini.

Melalui kepimpinan Kerajaan Sarawak, kami di Serba Dinamik yakin bahawa apa yang kita impikan akan menjadi kenyataan. Apabila menjadi kenyataan, ini adalah titik rujukan bagi kita untuk mempromosikan idea ini di negeri-negeri lain di Malaysia.

Dalam masa 10 tahun, bagaimana Datuk melihat perkembangan teknologi dalam kalangan masyarakat Sarawak dan Kota Samarahan khususnya, yang sebelum ini hanya dilihat sebagai sebuah perkampungan nelayan?

Kita yakin bahawa teknologi tidak dihadkan untuk mana-mana strata masyarakat pun. Kami telah berbincang dengan beberapa institusi kewangan yang memberikan pinjaman dengan faedah rendah sehingga ada teknologi yang dapat dilaksanakan di kawasan luar bandar.

Salah satu teknologi yang boleh digunakan di sini ialah pertanian pintar. Dalam konsep ini, kami menggunakan Internet of Things (IoT) dan kecerdasan buatan (AI) dalam pengumpulan data dan menganalisis lokasi pertanian. Ini termasuk e-dagang untuk memasarkan hasil pertanian mereka bukan sahaja ke pasaran Malaysia tetapi juga ke pasaran antarabangsa.

Ini membuktikan bahawa teknologi dapat membantu komuniti petani untuk berkembang dan menghasilkan produk dengan cara yang lebih berkesan dan produktif. Dengan itu kami berharap ia dapat mengurangkan penghijrahan anak-anak muda dari kampung ke bandar.

Kami yakin bahawa ini dapat dilaksanakan. Tetapi kita memerlukan komitmen dan usaha untuk membuktikan bahawa hasilnya ada. Melalui ini, kita dapat mengubah pola pemikiran anak-anak muda dari hanya berada di kota, agar kembali ke kampung dan menyumbangkan kemampuan mereka untuk membangunkan kampung.

5 1 vote
Article Rating
+ posts

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x
%d bloggers like this: